Sunday, April 25, 2010

Cinta Sufi

Kembara saifudin, lelaki berduka dari Tanah Rencong tidak pernah terhenti dalam lipatan masa. Dirinya dibawa ke suatu dimensi yang asing namun dia tidak pernah melatah. Dia adalah Saifudin yang sama dan tidak pernah berubah. Ketakwaan dan keimanan yang ampuh menjadi benteng pertahanan yang kukuh untuk dirinya. Dia tidak pernah menjadi hamba kepada sesiapa, melainkan hamba kepada Yang Maha Esa.

Sekembalinya dari kembara yang panjang dari abad ke-21, ujian yang maha berat menimpanya. Seluruh kudratnya lenyap. Malah dijadikan tawanan perang. Catalina yang mencari petunjuk tentang Maryam menjadikan Saifudin hambanya. Tapi berkali-kali ditegaskan oleh Saifudin, dia bukan hamba kepada sesiapa tetapi hamba kepada Allah.

Dengan bantuan makluk bersayap, suku kaum polip, kudrat Saifudin berjaya kembali semula. Dia kembali ke Tanah Melayu. Saifudin bangkit menetang penjajahan Portugis ke atas Melaka bersama-sama pahlawan lagenda, Laksamana Hang Tuah. Kejahatan yang nyata diperangi dan kejahatan yang halus turut dilawan atas nama Allah.

Cinta yang lama terpendam mula bercahaya di pergunungan kaum polip. Banjaran yang diselaputi salji hangat dek cinta Luna terhadap Laksaman Sunan. Tapi mana mungkin manusia bersatu dengan bangsa polip. Apatah lagi Thariq sering menegaskan perkara itu. Cinta fitrah cuba diganti dengan cinta abadi. Namun hati tetap terusik tatkala pandangan mengetuk sukma dan bicara mencairkan jiwa.

Catalina, balu Aryas da Lopo cuba mencari kebenaran. Disebalik diri yang masih diselaputi kejahilan, hati terpaut dengan nama-nama Allah. Meskipun dirinya tidak mengerti maksud kedamaian yang dinikmati di tempat maryam, namun dia tetap mahu menemui Maryam tanpa menyedari dirinya mencari keimanan. Cinta terhadap Saifudin turut berputik namun dia telah meraih satu kemenangan dalam cinta yang lebih besar dengan kalimah suci "aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah".

Saifudin...satu nama yang tidak dikenali tapi akhlaknya menjadi bualan. Keperkasaannya bukan satu pendustaan. Keimanan benteng kepada dirinya. Saifudin...nama yang tidak pernah padam dalam sanubari yang mengenalinya meskipun hilang tanpa perkhabaran.

1 comment:

  1. salam ziarah,

    akak pun ikuti trilogi novel ni..tp yg last sekali Hijab sang pencinta tu tak habis2 baca lg..hehe...dah kuar yg ni ek...hmm kena beli ni..

    ReplyDelete